Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat (SMKANL) yang
nama asalnya Madrasatun Naim Lilbanat telah ditubuhkan oleh Tn. Hj. Nik Yahya
bin Nik Daud pada Januari 1941. Idea penubuhan sekolah ini diperolehi pada
tahun 1931 daripada nasihat seorang Guru Agama daripada sebuah sekolah Arab
untuk pelajar perempuan di Singapura iaitu Tuan Guru Haji Muhamad Fadhullah
Al-Zahari. Beliau menyatakan bahawa menjadi Fardhu Kifayah mewujudkan sekolah
ini kerana pada waktu itu belum ada sekolah agama untuk perempuan.
Pada
peringkat awal penubuhannya, proses pembelajaran dan pengajaran telah
dijalankan di tingkat atas kedai (Syarikat Qamar) Tuan Haji Nik Yahya Nik Daud
sendiri yang terletak di Jalan Petra Semerak dengan pelajar perintisnya seramai
7 orang. Pada ketika itu terdapat hanya seorang tenaga pengajar iaitu Encik
Hussain Muhammad yang berkelulusan dari pondok Kuliah Al-Atta, Johor. Apabila
muridnya meningkat kepada 70 orang, sekolah ini dipindahkan kesebuah rumah sewa
kepunyaan Che Ibrahim (Syarikat Ibrahim) di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu
pada tahun 1947. Pada ketika itu terdapat hanya 7 buah kelas iaitu dari darjah
1 hingga 7, manakala gurunya pula terdiri daripada 3 orang warganegara
Indonesia.Pada tahun 1949, murid-murid telah meningkat kepada 120 orang dengan
2 orang tenaga pengajar iaitu Tuan Haji Fadhullah Suhaimi dan Tuan Haji Yaacub
Idris, manakala pengetuanya pula ialah Haji Idris b. Haji Omar.
Usaha
yang bersungguh-sungguh ini akhirnya telah menampakkan hasilnya di mana pada
tahun 1954 seramai 7 orang pelajarnya telah menjadi tenaga pengajar di madrasah
ini. Mereka ialah Ustazah Fatimah yusof (Bendahari Sekolah), Nik Kamariah Nik
Yahya, Karimah Abdullah, Wan Maimunah Wan Hassan, Nik Zaharah Nik Yahya,
Ustazah Salamah Hassan dan Ustazah Naimah.
Pada tahun
1956, bangunan madrasah ini telah dipindahkan pula ke Jalan Sultan Yahya Petra
sehinggalah sekarang. Yang Teramat Mulia Tengku Zainab Ibni Al Marhum Tengku
Muhamad (Raja Perempuan Zainab 2) dan abangnya Tengku Ibrahim Ibni Al Marhum
Tengku Muhamad (Tengku Sri Utama Raja) mengurniakan tanahnya dan dijual dengan
harga yang murah dan ditukar nama dengan serta merta kepada Tuan Haji Nik Yahya
Nik Daud dengan harga $24,000.00 dengan bayaran secara ansuran. Bagi
menjelaskan bayaran ini, Tuan Haji Nik Yahya telah memohon sumbangan daripada
Yang Teramat Mulia Tengku Abdul Rahman Putra Al Haj, Perdana Menteri Malaysia
pada waktu itu dan telah menyumbangkan sebanyak $70,000.00 di samping beliau
sendiri telah meletakkan batu asas pembinaan sekolah ini pada 3 Ogos 1958
bersamaan 17 Muharram 1378H.
Bagi
membina bangunan sekolah ini, sebuah syarikat cina (Syarikat Keng Be Kurlia,
Kota Bharu) telah menerima tender pembinaan berjumlah $82,500.00 dengan
mengeluarkan modal syarikat. Bayaran dibuat secara ansuran dengan sumbangan
daripada Tengku Abdul Rahman dan sehingga siap bangunan sekolah ini pada waktu
itu, hutang masih tertonggak sebanyak $32,500.00. Bagi menjelaskan hutang ini,
Dato' Nik Hassan Nik Yahya iaitu anak Tuan Haji Nik Yahya sendiri telah
berjumpa dengan Tengku Abdul Rahman bagi memohon sumbangan. Untuk itu, Tengku
telah menyumbangkan sebanyak $30,000.00 dan baki hutang $2500.00 lagi telah
disumbangkan oleh syarikat pembinaan tersebut sebagai hadiah.
Selain
daripada itu juga terdapat beberapa pihak lain yang turut menyumbang. Mereka
termasuklah Majlis Agama Islam Kelantan yang telah menyumbang sebanyak
$1000.00, Syarikat Lee Rubber Bhd sebanyak $1000.00, Ayah Ji Syeik, Syarikat
mancis sebanyak $1000.00, Che Ismail Sultan Kedai kain sebanyak $900.00, Syarikat
Bombay (Abdul Ghafar) sebanyak $500.00 dan lain-lain penyumbang yang terdiri
daripada ahli-ahli perniagaan India, Melayu dan Arab. Pihak Majlis Agama Islam
Kelantan juga sekali lagi menyumbangkan $1000.00 di masa permulaan pembinaan
Asrama pada tahun 1971. Ketika itu, Madrasah ini hanya mempunyai bangunan 2
tingkat dengan 9 bilik darjah dan sebuah asrama puteri 2 tingkat. Tn Hj Nik
Yahya Nik Daud merupakan pengasas SMKA Naim Lilbanat
Sebagai
sebuah sekolah yang tersohor pada ketika itu di negeri Kelantan, Madrasatun
Naim Lilbanat telah menjadi tumpuan para ibubapa untuk menghantar anak-anak
mereka menuntut ilmu agama di samping beberapa kemahiran lain yang turut diajar
seperti jahitan dan masakan. Terdapat ramai lepasan sekolah ini telah berjaya
menjawat jawatan penting dalam bidang ilmuan di negeri ini. Contohnya Puan
Faezah Ismail yang menjawat jawatan Pensyarah di Pusat Pengajian Tinggi Nilam
Puri (Akademi Islam Universiti Malaya) dan Puan Hashimah Haji Ahmad.
Namun
begitu, sekolah ini pernah meniti zaman kemerosotan pada tahun 1974 hingga
1976. Walau bagaimanapun dengan bantuan Kerajaan Negeri Kelantan, madrasah ini
terus bertahan. Pada tahun 1977, pihak kerajaan pusat telah mengambil alih
pentadbiran sekolah ini, maka bermula dari saat itulah wujudlah Sekolah
Menengah Kebangsaan Agama Naim Lilbanat (SMKANL) berada di bawah pembiayaan
Kementerian Pelajaran Malaysia sehinggalah ke hari ini. Proses pengambilalihan
sekolah ini telah disempurnakan oleh Dato' Musa Hitam selaku Menteri Pelajaran
Malaysia pada waktu itu.
Pada
tahun 1983, Blok B, Asrama B dan sebuah Musalla telah dibina, selain daripada
Blok A dan Asrama A yang sedia ada sejak 1958 lagi. Sehingga tahun 1983,
sekolah ini hanya mempunyai 2 blok pentadbiran dan 2 buah asrama selain sebuah
dewan makan. Bangunan blok C SMKANL telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha
MuliaTuanku Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra pada tanggal 5 April
1984 bersamaan 3 Rejab 1401H.
Pembinaan
Blok D pada tahun 1990 manakala Asrama C dan masjid pula dibina pada tahun
1995. Setahun kemudian Blok E yang menempatkan makmal sains telah dibina.
Geleri Bahasa Arab pula diwujudkan pada tahun 1998 atas usaha yang
bersungguh-sungguh oleh Pengetua pada waktu itu iaitu Tn Hj Abdullah Hussin.
Upacara Perasmian Geleri ini disempurnakan oleh Tn Hj Mohd Alwi Yussof,
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan
Pendidikan Islam dan Moral, Kementerian Pendidikan Malaysia pada 23 Julai 1998.
Pada tahun 1999 pula, dengan kerjasama antara pihak PIBG sekolah dan Syarikat
Crescent Network Sdn Bhd telah mewujudkan Naim Cyber Centre (NCC). Setelah
tamat tempoh perjanjian pada tahun 2003 NCC dikelolakan sepenuhnya oleh PIBG
sekolah dan ditukarkan kepada nama baru Mesra Cyber Centre (MCC)sehinggalah ke
tahun 2006. Pada tahun 2004 sebuah makmal komputer baru 2 tingkat yang menempat
40 buah komputer telah dibina dengan peruntukan daripada KPM dan makmal ini
mula digunakan untuk proses P&P pada tahun 2006. SMKANL telah dipilih
sebagai Sekolah Rintis Bestari pada tahun 1999 oleh KPM merangkumi 4 mata
pelajaran iaitu B Melayu, B Inggeris, Sains dan Matematik. Untuk itu pihak
kementerian telah membekalkan 39 PC beserta 2 Note Book. Di dalam
pengendaliannya, Sistem Pengurusan Sekolah Bestari (SSMS) digunakan. Pada tahun
2005, sekolah ini diiktirafkan sebagai sekolah Bestari dan pada tahun 2007,
satu sistem pengurusan sekolah bru diperkenalkan iaitu 'Webbase SMS).
Pusat
Akses IT (PAKSI) diwujudkan pada september 2007 untuk kemudahan guru,
kakitangan dan pelajar bagi mengakses maklumat dari Internet, menyediakan kerja
penaipan dan percetakan. Sebanyak 10 buah komputer dan satu printer lazer
disediakan secara percuma. Pusat ini dibuka daripada pagi hingga ke malam
termasuk hujung minggu di bawah pengawasan petugas-petugas yang dilantik dengan
kerjasama warden asrama. Lokasinya terletak bersebelahan dengan SAC dan
perpustakaan sekolah.
Pada
tahun 2007, 2 blok asrama baru mula dibina dengan peruntukan terus daripada
KPM. Asrama ini nanti akan menampung pelajar-pelajar yang tinggal di asrama
lama yang terletak dalam kawasan sekolah dan blok asrama lama ini akan
dijadikan kelas dan bilik-bilik untuk aktiviti serta pengurusan lain.
Hingga
ke hari ini, SMKANL telah termasyhur dan meniti di bibir penduduk negeri
Kelantan, khasnya dalam bidang kurikulum. Kemuncak kejayaan, ketrampilan dan
kecemerlangan SMKANL yang menjurus ke arah kegemilangannya ialah termahkotanya
sebagai
-⇲
Johan Sekolah Harapan
Negara, Bahagian Sekolah Menengah Bandar Peringkat Kebangsaan pada tahun 1999,
-⇲
Anugerah Kecemerlangan
Shell PMR terbaik 1998 Peringkat Kebangsaan,
-⇲
Anugerah Kualiti Juara
JPN Peringkat negeri Kelantan, Naib Johan Anugerah Kualiti YB Menteri
Pendidikan Malaysia pada tahun 1999
-⇲
Juara Antara Juara
Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan beberapa tahun berturut sejak 1999
-⇲
Mendapat penghargaan
Khas daripada JAPIM di atas pencapaian terbaik SPM 2005 bagi SMKA seluruh
Malaysia.
-⇲
Anugerah Sekolah Cemerlang : 2008
-⇲
Anugerah Sekolah Kluster Kecemerlangan : 2009
-⇲
Sekolah Berprestasi Tinggi : 2011
-⇲
Baiah Tawaran Baru (New Deal) : 2012, 2013,
2014
Post a comment